Selasa, 25 November 2008

IBADAH HAJI PERKASA UMMAH


Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita semua bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sempena musim haji 1429H, mimbar ini akan membicarakan khutbah bertajuk ” IBADAH HAJI PERKASA UMMAH ”.


Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Haji adalah rukun Islam yang kelima yang wajib ke atas setiap muslim yang mampu. Kepada bakal haji 1429 hijrah, mimbar ini mendoakan agar Allah SWT melimpahkan rahmat dan dikurniakan sihat, dipermudahkan urusan dan dikurniakan haji yang mabrur. Mengambil kesempatan ini, khatib akan mengupas beberapa pengajaran penting dalam ibadah haji yang berkait langsung dengan kehidupan kita diperingkat individu, bermasyarakat dan bernegara. Di antaranya ialah:
Pertama - Ibadah Haji Adalah Simbol Pengorbanan Kepada Agama.
Keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda dalam menunaikan ibadah haji merupakan suatu pengajaran kepada kita bahawa sebagai hamba Allah, kita sebenarnya dituntut berkorban demi agama Allah SWT.
Tanpa pengorbanan tenaga, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan. Renungilah pengorbanan para Rasul Alaihimussolatu wassalam, khususnya Nabi Ibrahim AS yang sanggup meninggalkan isteri dan anak-anaknya keseorangan di tanah Mekah semata-mata pengorbanannya kepada Allah SWT. Demikian juga Nabi Muhammad SAW mengorbankan nyawa, keluarga, tanah air berhijrah ke Madinah kerana semata-mata menegakkan agama. Persoalannya, banyak manakah masa, tenaga, fikiran dan harta benda kita dikorbankan untuk agama?. Sejauh manakah masa, tenaga, fikiran dan harta benda kita korbankan untuk menegakkan agama dalam diri kita, keluarga, masyarakat dan negara?.
Insaflah bahawa tanpa perjuangan dan pengorbanan dalam membangun agama Allah dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara, maka agama akan hilang keagongannya dan ia akan dipermainkan oleh musuh-musuh Islam. Justeru Allah menuntut kita berjuang dan berkorban, sepertimana dalam firman-Nya dalam surah At-Taubat ayat 111:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga."

Muslimin Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,
Kedua - Ibadah Haji Simbol Perpaduan.
Berhimpunnya jemaah haji dari seluruh dunia di kota Mekah dan Madinah adalah satu pengajaran bahawa umat Islam diwajibkan berkasih sayang, saling menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, kedudukan dan pangkat. Budaya kasih sayang dan saling bekerjasama inilah yang menjadi amalan di kalangan golongan Ansar dan Muhajirin yang menjadi faktor utama tertegaknya negara Islam Madinah.
Sejarah mencatatkan hebatnya tahap kasih sayang di kalangan Muhajirin dan Ansar hingga dinyatakan bahawa keluarga Ansar yang memiliki dua helai pakaian telah memberikan sehelai pakaian kepada saudara dari golongan Muhajirin. Mereka yang mempunyai dua rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin. Mereka yang memiliki dua bidang tanah, sebidang diwakafkan kepada kaum Muhajirin, bahkan ada orang Ansar yang mempunyai dua isteri berhasrat menceraikan seorang isteri untuk diberikan kepada saudaranya golongan Muhajirin. Demikianlah hebatnya perpaduan golongan Ansar dan Muhajirin yang diikat oleh iman dan takwa kepada Allah SWT.
Namun kini roh persaudaraan sebegitu telah mula cair dan terhakis, malah apa yang lebih malang kini sebahagian daripada ahli sesebuah keluarga bercakaran. Hubungan di kalangan umat Islam amat longgar, budaya tegur menegur semakin luntur, jiran bersebelahan rumah tidak kenal mengenal. Ada yang duduk bersebelahan dalam pengangkutan awam pun tidak bertegur sapa, ada yang bertembung diperjalanan tidak bertegur sapa. Hampir kesemua negara-negara Islam berpecah belah. Umat Islam dilanda sindrom permusuhan dan hasad dengki. Ada segelintir yang sanggup menindas, mengkhianat, menzalimi malah hingga berbunuh-bunuhan. Inilah sebenarnya hasil daripada pendekatan dasar perpaduan yang tidak didasari kepada iman dan takwa.
Justeru itu, Allah SWT memerintahkan kita membina perpaduan dengan kaedah iman dan takwa sepertimana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 103:
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;.“

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ketiga - Ibadah Haji Simbol Persamaan Taraf.
Kewajipan berpakaian ihram yang seragam di kalangan jemaah haji tanpa mengira kedudukan dan pangkat, memberi pengajaran bahawa semua manusia di sisi Allah SWT adalah sama taraf. Prinsip inilah yang menjadi faktor penting kejayaan Nabi SAW dalam menegakkan agama dan daulah. Sejarah mencatatkan bahawa Nabi SAW melayani masyarakat di zamannya secara samarata, tiada beza membeza sekalipun dengan anak sendiri. Hal ini ditegaskan dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Ahmad dari Abdullah bin `Amr:
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah telah menghancurkan umat terdahulu disebabkan sikap mereka, apabila seorang yang berdarjat mencuri tidak dihukum, tetapi jika orang miskin melakukannya barulah mereka melaksanakan hukuman hudud. Tidak! Demi Allah, jika Fatimah, anakku sendiri yang mencuri, nescaya aku sendiri yang memotong tangannya."
Mutakhir ini, budaya penyamaan taraf yang dipraktikkan oleh Nabi SAW telah tidak wujud lagi. Apa yang ada di dalam sesetengah masyarakat sama ada diperingkat keluarga, sektor pekerjaan, hak-hak sosio-politik dan ekonomi serta undang-undang adalah amalan yang meyimpang jauh daripada dasar persamaan taraf yang dipraktikkan oleh Nabi SAW sendiri. Implikasinya wujud jurang perbezaan taraf di kalangan masyarakat yang menyebabkan berpecah belah. Justeru itu, Allah SWT memerintahkan supaya mengamalkan prinsip persamaan taraf. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 58:
Maksudnya: " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.."

Mengakhiri khutbah, mimbar ini menyeru marilah di musim haji 1429 hijriah ini kita sama-sama memahami pengajaran penting dalam ibadah haji sepertimana yang telah dihuraikan tadi, dan sekaligus melaksanakannya dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Mudah-mudahan kita akan berbahagia di dunia dan di akhirat.
Maksudnya: " Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.."

Tidak ada komentar: