Selasa, 25 November 2008

PENDIDIKAN RAMADAN MENJANA KECEMERLANGAN



Saya menyeru diri saya dan tuan-tuan, marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya, mudah-mudahan kita akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah hari ini ialah : " PENDIDIKAN RAMADAN MENJANA KECEMERLANGAN ".

Selepas mendengar khutbah nanti insya Allah kita akan dapat tahu faktor yang boleh menjana kecemerlangan iaitu dengan Ramadan kita patuh kepada Allah; mensyukuri nikmat rezeki yang diperolehi; tabah dalam menghadapi ujian dan tekun dalam mengerjakan solat.


Muslimin Yang Di Rahmati Allah,

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan inayah-Nya kita telah selesai menunaikan ibadah puasa Ramadan. Kefardhuan berpuasa Ramadan itu adalah semata-mata bertujuan mendapatkan takwa. Sifat takwa bermakna taat dan patuh kepada perintah dan tegahan Allah yang tidak berbelah bahagi atau pun takut mengabaikan perintah Allah kerana balasan azab yang amat ngeri. Pendek kata pelaksanaan kepada segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala tegahan-Nya akan menghasilkan takwa dan golongan yang bertakwa akan di mulia dan dikasihi Allah Azza Wa Jalla.

Firman Allah dalam Al-Hujurat ayat 13:
Maksudnya: " Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya " .


Muslimin Yang Di Rahmati Allah,

Mimbar ini ingin menarik perhatian para jamaah tentang pensyariatan Allah kepada beberapa amalan di sepanjang Ramadan. Segala amalan ini mengandungi pelbagai pengajaran dan hikmat untuk panduan kita mencapai takwa sebagai teras kepada kecemerlangan di dunia dan diakhirat. Secara umumnya terdapat empat faktor pengajaran yang boleh mengubah dan membentuk diri kita menjadi insan soleh dan bertakwa hasil daripada pendidikan Madrasah Ramadan iaitu:

Pertama : Semakin tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Maksudnya ialah ketaatan di sepanjang Ramadan lalu mendorong kita untuk tetap melakukan setiap aspek pekerjaan seharian mematuhi garis panduan dan kehendak syarak di samping mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Kedua : Mensyukuri nikmat makanan dan minuman. Ramadan juga menjadikan kita umat yang tahu bersyukur atas nikmat rezeki makan dan minum. Dengan nikmat ini kita rajin beribadah, banyak bersedekah dan suka menghulurkan bantuan kepada golongan yang lemah.
Ketiga : Tabah hati dalam menghadapi pelbagai ujian, cabaran dan dugaan. Asas penting untuk memperoleh sifat ini ialah sifat sabar sepanjang Ramadan. Sifat sabar tersebut telah meningkatkan mutu ibadah, akhlak terpuji, semangat tolong menolong dalam perkara kebaikan, melahirkan pemimpin yang berkualiti, pekerja yang produktif dan seumpamanya.

Keempat : Ketekunan dalam mengerjakan ibadah. Sifat tekun ini datangnya daripada kesungguhan kita melakukan solat taraweh dan bertadarus al-Qur’an. Natijah daripada amalan-amalan tersebut mampu melahirkan modal insan yang bertanggungjawab, adil, berintegriti tinggi, amanah dan mempunyai Haibah dalam apa jua lapangan yang diamanahkan kelak.

Muslimin Yang Di Rahmati Allah,

Berdasarkan pengajaran tadi ternyata darjat takwa itu mempunyai kayu pengukur yang tertentu. Umpamanya kemenangan tentera Islam yang hanya berjumlah 24,000 orang dalam ” Peperangan Yarmuk ” mengalahkan tentera Parsi yang berjumlah 200,000 orang. Diriwayatkan ketika maharaja Parsi Heraculis meminta penjelasan panglima tenteranya mengenai punca kekalahan tenteranya yang begitu besar dengan peralatan perang yang begitu canggih, maka dijelaskan bahwa puncanya ialah kerana tentera Islam hanya patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya, tekun beribadah dan taat kepada agamanya sehingga dalam masa perang pun mereka masih tetap mengerjakan solat. Manakala tentera Parsi pula tidak berpegang kepada agama malah mengikut hawa nafsu, minum arak, berzina dan sebagainya.

Muslimin Yang Di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah kali ini, mimbar mengajak untuk kita merenung kembali bahwa bulan Syawal ini sebagai medan kita menilai sejauh mana kita dapat memanfaatkan keberkatan Ramadan. Tanyalah kepada diri kita adakah penghayatan Ramadan dahulu masih ada lagi dalam diri kita, pada anak-anak, ahli keluarga, masyarakat sekeliling, pemimpin, pegawai kerajaan atau swasta dan umat Islam seluruhnya?.

Jika tidak, siapakah pula yang bertanggungjawab untuk mengekalkan penghayatan itu?. Ingatlah bahawa teras kecemerlangan umat Islam bergantung kepada takwa yang dimiliki. Takwa akan memandu segala kegiatan agar bertepatan dengan perintah dan tegahan Allah yang secara langsung mendatangkan kebaikan kepada masyarakat dan negara.

Sesungguhnya Ramadan telah banyak memandu kita meningkatkan takwa melalui amalan solat fardhu atau sunat, membudayakan diri kemasjid, membaca dan memahami ayat-ayat al-Qur’an, bertaubat, berdoa dan berzikir. Oleh itu, marilah sama-sama kita menghayati segala amalan tersebut di bulan-bulan seterusnya. Mudah-mudahan kehidupan kita akan dinaungi takwa dan sekaligus cemerlang di dunia dan di akhirat .

Firman Allah SWT dalam surah Al-A'raf ayat 96:

Maksudnya : ” Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. "

Tidak ada komentar: