Sabtu, 29 November 2008

NUR HIJRAH


Amalan ziarah atau kunjung mengunjung merupakan salah satu wasilah atau cara mengerat dan mengukuh tali silaturrahim sesama kita. Amalan ziarah memberi manfaat yang amat besar dan faedah yang berguna dalam konteks perpaduan ummah. Amalan ziarah juga membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan yang dinamakan hubungan silaturrahim.

Namun, yang mengecewakan serta amat mendukacitakan kita, di mana terdapat sebahagian di kalangan umat Islam atau sahabat-sahabat kita pada hari ini kurang memberi perhatian terhadap amalan ziarah menziarahi terutamanya menziarahi saudara-saudara terdekat, sahabat handai, jiran tetangga dan sebagainya di luar musim-musim perayaan atau sambutan-sambutan tertentu. Ini disebabkan fahaman dan amalan ziarah hanya bersifat bermusim atau menjadi tradisi yang diamalkan sempena sambutan perayaan sahaja seperti hari raya puasa yang sedang kita raikan ataupun hari raya haji semata-mata. Akibatnya amalan ziarah semakin hari semakin terhakis dan diabaikan dalam keluarga dan masyarakat kita dengan alasan kesibukan dengan tugas-tugas harian dan sebagainya.

Tidak ada komentar: